Saturday, November 13, 2021

 Ku Hasnan Ku Halim (2018) mengemukakan pandangan dalam membentuk negara bangsa menurut acuan Malaysia, penekanan haruslah diberikan terhadap beberapa perkara iaitu untuk mengurus isu perpaduan negara dan integrasi nasional. Acuan inilah yang telah diguna pakai untuk menyusun atur, merancang dan melaksanakan pembangunan dan pemerintahan di Malaysia sejak merdeka hingga kini. Kemajmukan rakyat Malaysia daripada pelbagai budaya, agama dan bahasa telah menjadi perkiraan asas dalam negara ini untuk terus utuh sampai bila-bila.

Penubuhan parti Perikatan iaitu UMNO, MCA, MIC dan semangat permuafakatan kaum adalah acuan pertama yang terbina hasil daripada kemahuan bersama rakyat yang mahu memerdekakan negara daripada penjajah Inggeris. Permuafakatan politik yang dibina ini terus kekal sehingga kini dan menjadi teras kepada permuafakatan antara kaum di Malaysia. Namun sejarah telah mencatatkan satu peristiwa hitam apabila pada tahun 1969, rusuhan kaum telah berlaku. Maka perpaduan negara menjadi matlamat utama dalam pelaksanan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara dan pembentukan negara industri, demokratik dan progresif melalui Dasar Wawasan Negara.

Acuan kedua adalah melalui pembangunan ekonomi negara yang diikat dengan falsafah pembangunan ekonomi yang adil antara kaum, golongan miskin dan kaya, kawasan desa dan bandar serta perbezaan wilayah. Dengan terbina ikatan di antara rakyat pelbagai budaya ini, ia akan dapat menjamin kestabilan sosiopolitik dan pembangunan ekonomi di negara ini serta dapat berjalan secara berterusan. Pembangunan negara yang sentiasa mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat hingga ke hari ini telah menjadikan negara semakin hampir untuk mencapai tahap negara maju sehingga struktur masyarakat berasaskan pertanian telah mengalami perubahan ke arah budaya hidup kelas menengah yang mengutamakan kepenggunaan dan kualiti hidup yang lebih baik.

Justeru, pemodenan dan pembangunan di Malaysia telah berjaya menghakis sentimen lama yang sering dikaitkan dengan etnik dan agama. la diperkukuhkan lagi dengan acuan tadbir urus kerajaan Malaysia yang berjaya mengurus isu perkauman dan agama ini dalam bentuk pentadbiran negara hingga perbezaan yang wujud diurus dengan baik dan dinikmati bersama oleh masyarakat pelbagai budaya di negara ini. Matlamat akhirnya ialah untuk memastikan masalah sosial dan setiap perubahan dalam masyarakat dapat diurus dengan baik dalam proses kerangka negara dan bangsa Malaysia. Pemahaman dan penghayatan prinsip Rukun Negara akan membantu dalam merealisasikan kesinambungan dan kemakmuran hidup dalam negara yang aman damai dan sejahtera.

No comments:

Post a Comment

  MPU21032 PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN  KUMPULAN 5 KELAS DAT1A  NAMA PENSYARAH  :  PUAN LEZAWATI BINTI SERON NAMA AHLI KUMPULAN  : 1. NU...